Thursday, January 12, 2012

Kita juga boleh

Jangan berputus asa disaat kita jatuh tersungkur. Kadang kala apabila itu berlaku kita lebih bermuhasabah diri dan lebih kenal siapa diri kita, siapa lawan dan siapa kawan. Tiada siapa yang akan membantu diri kita melainkan diri kita sendiri. Orang lain mungkin boleh menjadi penasihat yang baik tapi yang menanggungnya adalah diri kita sendiri. Janganlah terus terlena dibuai emosi yang akhirnya akan merencatkan perjalanan kita menuju apa yang kita impikan


Kita juga boleh. Boleh bangkit kembali dari kesedihan dan kekecewaan. Tidak semua orang mampu melaluinya, tapi jika kita berjaya melaluinya pasti ada sesuatu yang baik mengiringi kita. Senang orang bercakap apabila kita berjaya, dan senang juga orang bercakap apabila kita gagal. Tetapi apa yang pasti orang lagi gembira jika kita gagal. Sudah lumrah sifat manusia sebegitu, kita juga kadang kala tidak boleh lari daripada  mempunyai sifat sebegitu.

Kita juga boleh. Boleh mencapai apa yang kita impikan. Cuma yang membezakannya adalah azam dan semangat. Namun dalam keghairahan kita mengejar impian kita juga perlu sedar bahawa rezeki setiap anak Adam itu telah ditetapkan dari azali lagi. Kita hanya merancang tetapi Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya. Sehebat mana pun kita mengejar apa yang kita impikan, tetapi jika sudah tertulis ianya bukan milik kita, ia tetap takkan menjadi hak kita. Dan walaupun sesukar mana jalan yang kita lalui untuk mencapai impian itu, tetapi jika sudah tertulis ianya adalah milik kita, ia tetap menjadi milik kita.

Kita juga boleh. Boleh untuk mengubah hidup kita kepada keadaan yang lebih baik. Namun, Ramai orang hari ini menyalahkan takdir kerana kegagalan dalam hidup dan sering berkata ''sesungguhnya semua telah ditakdirkan''. Sedangkan kita tidak pernah untuk berusaha kearah itu, jelas semuanya adalah berpunca daripada diri kita sendiri. Mungkin kegagalan adalah suatu yang pahit untuk ditelan tetapi percayalah itulah menjadikan kita lebih matang. Matang dalam menghadapi dunia hari ini yang penuh cabaran. Pastinya jika kita tidak kuat, kita pasti terhanyut sama.

Kita juga boleh. Boleh membahagiakan orang sekeliling kita walaupun kadang-kadang mereka menyakitkan hati. Tetapi merekalah yang setia berada disamping kita apabila masalah mendampingi kita. Bukan kawan, bukan boyfriend, bukan sahabat tetapi semestinya adalah keluarga kita. Kadang-kadang bukan semua masalah kita boleh berkongsi dengan orang lain selain keluarga kita sendiri, kerana merekalah penawar segala-galanya. Ada disaat kita jatuh, ada disaat kita untuk bangkit kembali namun tiada disaat apabila kita berjaya. Kenapa itu berlaku, kadang-kadang kita selalu berdoa disaat kita jatuh agar kita mampu untuk membalas segala kepercayaan, semangat yang diberikan. Namun kita tidak tahu percaturan Illahi, mereka pergi disaat kita sedang meniti tangga kejayaan. Disaat kita mampu untuk berjalan sendiri, disaat kita ingin memberikan sesuatu kepada mereka. Dan ketika itulah kita akan sedar betapa berharganya mereka buat diri kita.

Kita juga boleh. Pergilah ke tempat yang ingin kita tujui, capailah apa yang kita impikan, sayangilah orang yang ingin kita sayangi, kerana kita hanya mempunyai satu kehidupan sahaja, semuanya bergantung kepada diri sendiri selagi tidak bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah buat hambanya. Tidak mudah namun tidak juga susah......

*Kita Hanyalah Manusia Biasa Sahaja*

No comments:

Post a Comment